Sunday 17 June 2012

FUNGSI PANTUN

1       Menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih
Seseorang yang berbudi ialah seorang yang membuat jasa dan berjasa kepada orang yangmenerima budi baktinya. Begitu juga budi yang baik begitu tinggi nilai estetikanya ibarat emas dan oleh sebab tidak ternilai inilah budi itu dikenang sehingga dibawa mati. Namun begitu, oleh sebab terlalu menerima budi, seseorang itu seharusnya  tidak termakan budi sehingga ia berjiwa hamba, terikat kepada orang yang telah banyak menabur budi, terlalu mudah tidak tahu berkata tidak dan tidak tahu batas dan sempadan. Berikut merupakan dua contoh pantun budi yang menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih :

 Pisang emas di bawa belajar,
          Masak sebiji di atas peti;
 Hutang emas boleh dibayar,
          Hutang budi dibawa mati.

2       Tujuan adat istiadat
Pantun adat yang diamalkan sejak dari dulu lagi masih diteruskan sehingga ke dewasa ini.Antaranya ialah adat perkahwinan, adat pusaka, adat manusia, dan sebagainya. Antara fungsipantun adat ini ialah sebagai alat untuk mendidik dan mengajar masyarakat tentang kehidupan ke alam berumah tangga. Selain itu, pantun juga digunakan sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan nasihat. Berikut disertakan dua contoh pantun adat  dan huraiannya :

 Ikan berenang di dalam lubuk,
                   Ikan belida dadanya panjang;
      Adat pinang pulang ke tampuk,
                  Adat sireh pulang ke gagang.

3       Meluahkan rasa kasih sayang dan kerinduan.
Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira batasan umur, sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam.

            Berdasarkan pantun kasih sayang, nasihat yang cuba disampaikan oleh pengkarya ialah mengenai kasih sayang. Kasih sayang merupakan satu perasaan cinta, kasih dan sayang kepada seseorang. Erti kata kasih sayang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu cinta antara manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan dan manusia dengan alam. Perasaan sayang selalunya akan disampaikan melalui pantun oleh masyarakat tradisional dalam menyampaikan hasrat mereka. Hal ini telah memperlihatkan bahawa masyarakat tradisional sangat mementingkan kesopanan dan kesantunan terutamanya dalam berkasih sayang. Perasaan kasih sayang merupakan hukum alam yang tidak dapat dihalang oleh manusia daripada terus belaku kerana ianya sudah ditakdirkan  oleh Ilahi.

4       Untuk sindiran dan tempelak
Mengapakah orang Melayu tidak suka berterus terang? Menurut Fatimah Busu, (1922:22) kesopanan yang terbit daripada rasa malu dan segan dalam kalangan masyarakat Melayu telah menimbulkan satu cara hidup yang tidak suka berterus terang. Selalu ada pengertian-pengertian yang lain di sebalik rangkai kata-rangkai kata yang dituturkan. Dalam membuat teguran ini, maka lahirlah pelbagai bentuk bahasa kiasan bagi menggambarkan sikap rendah diri dan sifat kesopanan. Sindir- menyindir juga memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mesej yang cuba disampaikan itu berkesan dan indah. Berikut merupakan dua contoh pantun kias ibarat dan penerangannya :

 Pondok robek makan api,
                    Anak Cina main teropong;
    Katak bertingkir besar hati,
                            Dapat dunia bawah tempurung.

            Dalam pantun tersebut, karikatur katak memberi satu kiasan terhadap sifat manusia yang tiada pegangan atau pendirian. Manusia sebegini tidak akan berusaha untuk memajukan diri sendiri tetapi hanya menerima takdir yang telah ditetapkan kepadanya dengan rasa gembira. Sudah pasti kehidupan bawah tempurungnya itu tidak akan membawanya ke mana-mana kerana sifat ingin mengetahui dan ingin maju tidak ada padanya. Dalam kiasan ini, ada pelajaran iaitu pendengar mengambil sesuatu episod yang diceritakan sebagai situasi yang dapat dipelajari dan cuba mengandaikan atau mengaplikasikan dirinya dengan situasi tersebut. Ibarat dan kias menjadi jambatan untuk makna atau maksud sosial dan moral sastera.

 Ayam dikepuk dipanggil pulang,
               Kain tercarik tersangkut duri;
Usah ditepuk air di dulang,
                Kelak terpercik muka sendiri.

            Pantun tersebut membawa peringatan yang amat berguna kepada kita supaya tidak memburuk-burukkan saudara atau orang yang rapat dengan kita. Umpama menepuk air di dalam dulang, perbuatan mengumpat, mengata saudara mara atau sahabat handai akan mengundang keburukan kepada diri sendiri kelak. Segala kekurangan yang dimiliki oleh saudara mara atau sahabat handai hendaklah disembunyikan tanpa pengetahuan orang luar.

5       Menyampaikan mesej berunsur keagamaan
Pantun agama ialah pantun yang mengandungi aqidah, hukum, dan keimanan kepada Allah. Pantun agama menerangkan tentang ketuhanan, pahala, dosa, akhirat, hidup, mati, dan lain-lain lagi. Pantun ini juga menyeru umat Islam supaya taat dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah danmeninggal segala larangan-Nya. Selain itu, pantun ini memberitahu umat Islam tentang setiap perbuatan yang dilakukan akan mendapat balasan sama ada baik atau buruk. Berikut merupakan dua contoh pantun agama.


 Redup bulan nampak nak hujan.
                        Pasang pelita sampai berjelaga;
Hidup mati di tangan tuhan,
                 Tiada siapa dapat menduga.



No comments:

Post a Comment